Trip 2013 - Day 3 (Cheviot-Christchurch-Dunedin-Invercargill-Milford Sound)

Hari ke 3 percutian, merupakan antara perjalanan yang paling menyeronokkan. Peserta konvoi akan dibawa melawat ke beberapa tempat menarik seperti Willowbank Wildlife Reserve di Christchurch, melihat keajaiban batu berbentuk bulat di Moerarki Bolders, melawat kilang Cadbury di Dunedin dan menziarahi masjid paling hujung di hemisfera selatan yang terletak di Invercargill. Tapi sebelum itu, kita breakfast nasi lemak yang disediakan oleh Universe Heritage dulu sebelum memulakan perjalanan.


Suasana makan pagi di Cheviot
Destinasi pertama peserta ialah Willowbank Wildlife Reserve yang terletak kira-kira 1 jam perjalanan dari Cheviot. Di sini peserta berpeluang menyaksikan haiwan yang menjadi trademark kepada New Zealand iaitu burung Kiwi dan haiwan-haiwan lain yang terdapat di zoo ini. Tapi kami tidak dibenarkan mengambil gambar burung Kiwi atas arahan pihak zoo.

Salah satu pemandangan di Willowbank Wildlife Reserve
Selesai menyaksikan burung Kiwi, perjalanan diteruskan menuju ke satu tempat yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia bagi menyaksikan sendiri batu-batu besar yang berbentuk bulat seperti bola yang wujud di Moerarki Bolders. Pelbagai mitos dikatakan mengenai kewujudan batu-batu ini. 


Pemandangan indah di Moerarki Bolders
Destinasi seterusnya ialah kilang Cadbury yang terletak di Dunedin. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira dua jam ini sangat menyeronokkan. Apa tidaknya, sepanjang perjalanan, kami dihidangankan dengan pemandangan indah sepanjang pantai Timaru dan keindahan ladang biri-biri yang menghijau di sepanjang jalan. Patut la biri-biri New Zealand sihat-sihat. Tengok la padang ragut macam mana :D.

Padang ragut di Palmerston
Suasan indah tepi pantai di Timaru
Kami tiba di Dunedin kira-kira jam 1 tengahari. Kami dibawa melawat ke dalam kilang asal Cadbury yang masih beroperasi hingga ke hari ini bagi menyaksikan sendiri bagaimana coklat dihasilkan menerusi demonstrasi penghasilan coklat yang di sediakan pihak kilang Cadbury untuk tontonan pelawat. Peserta juga tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis coklat Cadbury (yang halal sahaja ok...) pada harga yang istimewa serta cenderahati untuk dibawa pulang. 
Kilang asal Cadbury di Dunedin
Kedai coklat di kilang Cadbury, Dunedin
 Selesai melawat kilang Cadbury, konvoi meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Invercargill. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar untuk berehat dan makan-makan.
Berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Invercargill
Perjalanan ke Invercargill mengambil masa kira-kira 3 jam. Perasaan kami untuk sampai ke masjid paling hujung di dunia ini semakin teruja. Kami ingin melihat sendiri dan berkongsi pengalaman dengan komuniti Islam yang terdapat di sini. Semangat perjuang mereka mempertahankan Islam di sini amat menyentuh hati dan memberikan kami pengajaran dan iktibar. Kehadiran kami disambut oleh Saudara Shamir Ali yang juga setiausaha Southland Muslim Association, sebuah organisasi yang mengurus hal ehwal Islam di selatan New Zealand. Kami juga sempat menunaikan solat Asar bersama beliau di masjid ini yang dikenali sebagai Southland Community Center. Kami juga mengalu-alukan kepada sesiapa yang ingin menderma kepada persatuan muslim ini, sila layari http://www.sma.org.nz/. Terdapat nombor akaun bank dan maklumat-maklumat aktiviti yang boleh anda perolehi dan semoga bantuan dan sumbangan anda diterima Allah sebagai amalan jariah yang kekal hingga hari kiamat...Amin.

Most southern mosque in the world, Invercargill, NZ

Bersama Saudara Shamir Ali

Solat Asar di Southlan Community Center, Invercargill
Sumbangan bagi komuniti Islam di Invercargill
Selesai solat Asar, kami dibawa oleh Saudara Shamir Ali ke Mevlana Kebabs, sebuah restoren milik saudara Islam di pekan Invercargill. Kami dilayan dengan penuh mesra oleh pemilik Restoren ini, Saudara Mustafa yang berasal dari Turki yang kini menetap di sana.

Bersama pemilik restoren Mevlana Kebabs , saudara Mustafa (yang melambaikan tangan)

Setelah menjamu selera di Mevlana Kebabs, kami meneruskan pengembaraan ke satu destinasi pelancongan utama dunia, iaitu Milford Sound.